Thursday, 25 January 2018

ISN sedia kemudahan bertaraf dunia

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) menegaskan tiada lagi alasan untuk atlet Program Podium tidak menyerlah selepas pelbagai kemudahan bertaraf dunia dan bernilai jutaan ringgit disediakan dalam usaha memulihkan serta meningkatkan prestasi mereka.

Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, atlet harus memanfaatkan kemudahan yang disediakan itu termasuk dua kemudahan baharu iaitu Altitude & Enviromental Chamber serta Cryotheraphy atau dikenali sebagai makmal ais.

"Saya tidak nafikan dengan wujudnya ekosistem ini, sepatutnya kita boleh menjadi juara. Saya tidak lihat kita tidak boleh menjadi atlet terkemuka sekurang-kurangnya di rantau ini.

"Kebanyakan negara di Asia Tenggara tidak memiliki kelengkapan seperti yang kita ada. Jika mereka lihat fasiliti yang kita ada, saya yakin mereka akan kagum," kata Abdul Azim pada sidang media selepas Majlis Bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di ISN, di sini hari ini.

Altitude and Environmental Chamber yang direka khas untuk latihan olahraga, dan memerlukan kawalan karbon dioksida dan oksigen dalam 'environmental chamber' tersebut.
Chamber itu berupaya melakukan simulasi pelbagai jenis keadaan cuaca dan suhu serendah -25 Celsius hingga 55 C elsius.

Cryotheraphy Lab atau lebih dikenali sebagai makmal ais pula digunakan untuk merawat kecederaan atlet dengan lebih cepat.

"Dua kemudahan ini untuk membantu persiapan atlet sebelum bertanding ke luar negara dan mempercepatkan pemulihan kecederaan atlet. Kalau dulu perlu mengambil seminggu untuk sembuh tetapi dengan kemudahan ini mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari sahaja," kata Abdul Azim.


No comments: