Monday, 14 April 2014

Sabah dapat sebuah lagi Pusat Satelit


Sandakan: Kewujudan sebuah lagi Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) di Tawau, Sabah, tahun depan bagi mengetengahkan lebih ramai atlet negeri ini ke peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pusat itu membantu atlet dan jurulatih Sabah menerusi perkhidmatan sains sukan, perubatan dan teknologi secara lebih saintifik serta komprehensif.

“Sebahagian negeri lain cuma ada sebuah pusat satelit ISN sebab perjalanan tidak jauh dan atlet mudah pergi ke satu pusat, tapi Sabah negeri yang besar dan perlu banyak pusat untuk menyediakan perkhidmatan sukan.

“Ramai bakat sukan dari Sabah sejak dulu lagi, cuma kelemahannya kerana tidak cukup kemudahan.

ISN berusaha mencari kaedah terbaik dalam latihan dan persiapan atlet bersandarkan perkhidmatan sains, perubatan dan teknologi sukan,” katanya selepas merasmikan Pusat Satelit ISN Sandakan di Kompleks Sukan, semalam.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Timbalan Ketua Setiausaha Antarabangsa dan Pengurusan Kementerian Belia dan Sukan Datuk Azhar Mohamed Isa dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Datuk Suzana Liau.
Pusat Satelit ISN Sandakan yang kedua ditubuhkan di negeri ini selepas Kota Kinabalu pada Ogos 2012.

Pusat berkenaan yang ke-10 daripada 16 Pusat Satelit sedia ada di seluruh negara dengan menumpukan kepada perkhidmatan sokongan sains sukan dalam tiga disiplin asas iaitu aspek suaian fizikal, psikologi sukan dan fisiologi senam.



Arena - Harian Metro

No comments: